PAKLEH TAPANG (MAT SALLEH BIN HAJI AHMAD)

Dublin Core

Title

PAKLEH TAPANG (MAT SALLEH BIN HAJI AHMAD)

Subject

Tokoh Dikir Barat

Description

Nama penuh beliau ialah Mat Salleh Bin Haji Ahmad merupakan pengasas dan pendikir barat yang terulung. Beliau lebih dikenali di kalangan pendikir dengan nama Pak Leh Tapang. Beliau sangat dihormati dan dan mendapat sanjungan semua pihak.

Beliau memulakan dikir barat selepas Perang Dunia Kedua. Pak Leh mengubah corak dikir yang sedia ada iaitu dikir laba di kalangan masyarakat Kelantan kepada corak baru dengan mempertahankan pantun.

"Pak Leh mengambil asas daripada negeri Siam dicampur dengan corak dikir di Kelantan, lalu dinamakan dikir barat (Siam). Nama itu lekat hingga ke masa ini," jelas beliau.

Pada masa lalu, dikir barat menjadi hiburan orang-orang kampung seperti petani dan nelayan. Sekarang ini telah menjadi alat penghibur dan nasihat hingga ke peringkat bandar dan pelancong dari luar negara. Kini dikir barat telah pun mendapat tempat melalui radio, TV dan kaset-kaset.

Menurut Pak Leh ,beliau menggunakan media berdikir barat dalam berbagai tujuan seperti pendidikan, menasihat, hiburan dan dakwah melalui pantun-pantun dikirnya yang keluar secara spontan.

"Pak Leh boleh berpantun secara spontan dengan menggunakan penglihatan ,sebutan dalam apa sahaja tajuk. Tambah lagi kalau berlawan (bertanding) hujah-hujah pihak lawan dapat dipantun balik dan mengenakan pula kepada lawan-lawan," tambahnya lagi.

"Pernah Pak Leh diminta oleh Pejabat Penerangan Negeri Kelantan membuat dikir barat di kawasan-kawasan hitam dan sempadan dengan menyeru pengganas-pengganas supaya keluar hutan menyerah diri pada masa darurat dulu", jelasnya.

Peranan Pak Leh sebagai penghibur dikir barat bermula di bawah bangsal kecil di kampung-kampung telah meningkat hingga membawa ke majlis-majlis rasmi di istana, radio, TV hingga ke peringkat tertubuhnya Dendang Rakyat oleh RTM. Yang membanggakan ialah Pak Leh adalah yang mengasas dan memulakannya.

Apabila ditanya tentang kebolehannya untuk melaksanakan tugas tukang karut dengan berkesan sekali dalam semua majlis dan upacara, beliau mejelaskan bahawa tukang karut mesti luas pengetahuan termasuk yang terkini, banyak membaca dan tajam pula perhatian. Itulah isi pada diri tukang dikir yang ulung ini.

Pak Leh tidak mengasingkan diri dari masyarakat. Beliau pernah menjadi penghulu Mukim Teluk dan MukimTapang di Kota Bharu , ahli jawatankuasa PIBG beberapa buah sekolah berdekatan dan lain-lain badan kebajikan.

Atas jasa-jasa dan ketokohannya itu, beliau dianugerahi Surat Kepujian tahun 1988 dan Pingat Setia (PS) 1994 oleh Sultan Kelantan .

Pak Leh sekarang menetap di Taman Harmoni Kampung Beris Jambu, Jalan Panji Kota Bharu dalam usia 69 tahun. Beliau memiliki empat orang anak.

Pak Leh menasihatkan pasukan-pasukan dikir barat termasuk tukang karut , supaya sentiasa menjaga nama baik pasukan dengan berfikir tentang kebaikan dan elakkan yang mengarut (berbentuk cabul), atau apa sahaja yang memburukkan. Dengan ini, imej dikir barat sentiasa baik dan menjadi alat yang berkesan dalam pendidikan dakwah dan lain-lain sambil menghibur.

Creator

Utusan Malaysia

Source

"Pak Leh Tapang Guru Ulung Dikir Barat", Utusan Malaysia 11hb. Januari 1997.

Date

06/03/2018

Contributor

Seksyen Koleksi Khas dan Institusi

Format

Teks

Language

Bahasa Melayu

Files

pakleh tapang.jpg

Collection

Citation

Utusan Malaysia , “PAKLEH TAPANG (MAT SALLEH BIN HAJI AHMAD),” Digital Kelantan Collection, accessed March 30, 2023, http://digitalkelantancollection.umk.edu.my/koleksikelantan/items/show/3733.