Pensyarah Tukang Karut

Dublin Core

Title

Pensyarah Tukang Karut

Subject

Keratan akhbar

Description

Tidak keterlaluan jika kita mengatakan anak kelahiran Kampung Besar, Semerak ini sebagai ikon kesenian Kelantan kerana umum merasai perjalanan beliau khususnya dalam bidang dikir barat.

Dinobatkan sebagai johan serta dianugerahkan sebagai Tukang Karut Terbaik dalam Pertandingan Dikir Barat Peringkat Kebangsaan pada tahun 1998 dan 1999 bersama Kumpulan Belia 4B Bakti Murni Telaga Papan dan tahun 2000 bersama Kumpulan Sinar Harapan Telaga Papan sudah cukup untuk meletakkan beliau dalam kelas tersendiri.

Itu hanya sebahagian kecil rekod kejayaan Sulizi Che Awang atau lebih dikenali sebagai Cikgu Sulizi yang sewajarnya menjadi kebanggaan masyarakat di daerah ini dan seluruh Negara secara amnya.

Warisan darah seni bapa dan datuk

Darah seni arwah datuknya yang merupakan peniup serunai kumpulan wayang kulit dan arwah bapa sebagai tukang karut tersohor suatu masa dahulu mengalir dalam dirinya sehingga beliau mencuri tumpuan sejak belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Semerak.

Bakat dikembangkan lagi ketika melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi dari 1988 hingga 1992  dan sama sekali tidak menjejaskan tumpuan belajar apabila beliau membawa pulang Ijazah Sarjana Muda Sains dan politik.

Dari tahun 1993 hingga 1994, beliau menuntut di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim untuk mengenggam Diploma Pendidikan Jasmani dan Kesihatan sebelum melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Sains dalam bidang Politik dan Kerajaan dari 2011 hingga 2013.

Selepas berjaya sebagai seorang guru, beliau kini melangkah setapak ke hadapan dengan jawatan Pensyarah Kokurikulum Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, Besut sejak tahun 2008.

Terap elemen lebih segar dalam lagu dikir

Sulizi muncul dengan album pertama Dikir Budak U bersama rakan seperjuangan, Halim Yazid yang menyerlahkan lagu Beruntung Benar Jadi Anak Kelate dan kejayaan itu menjadi peransang  untuk beliau menghasilkan lebih 30 album.

Lagu-lagu seperti Hatiku Hancur Relai, Demo Toksir Kawe Tok sesal dan Cinta Seorang Saing menjadi siulan ramai yang melonjakkan nama Sulizi apatah lagi apabila beliau turut tampil dengan album muzik moden.

Beliau berkata, penggiat dikir barat perlu meyuntik pelbagai elemen supaya lagu-lagu lebih segar bagi memenuhi selera semua pendengar.

“selain untuk memartabatkan kesenian tradisional, saya memilih untuk bergiat dalam dikir barat kerana melaluinya kita dapat menyampaikan mesej berguna kepada orang ramai.

“Ada ketika mesej berat tidak boleh disampaikan dengan berbicara tapi ia diterima dengan baik sekiranya mesej itu diselitkan dalam lagu. Medium ini amat sesuai untuk membentuk minda masyarakat atau memupuk penyatuan bangsa,” katanya.

 

Bukan hanya dikir barat

Bagaimanapun, dikir bukan satu-satunya dunia Sulizi, malah penerima Anugerah Tukang Karut Popular Kelantan tahun 2006 dan Tokoh Seni Budaya Pasir Puteh ini juga menyampaikan ceramah motivasi di sekolah-sekolah menengah di Kelantan dan Terengganu.

Beliau turut mengaktifkan program sukan di daerah ini termasuk menganjurkan kejohanan bola sepak bawah 12 tahun dan mewujudkan akademi bola sepak kanak-kanak.

“kita cuba membuka peluang kepada generasi baharu mempamerkan kemahiran mereka dalam sukan, pembentukan awal ini akan memberi manfaat jangka masa panjang bukan sahaja untuk mengangkat martabat sukan Negara tetapi dalam masa sama akan lahir ramai insan berkualiti selari dengan kemajuan Negara,” katanya.

Creator

Norhasram Mohamad

Source

Sinar Harian

Publisher

Seksyen Koleksi Khas dan Institut

Date

8 Ogos 2018

Contributor

Sinar Harian

Language

Bahasa Melayu

Type

keratan akhbar

Files

pensyarah tukang karut.jpg

Collection

Citation

Norhasram Mohamad, “Pensyarah Tukang Karut,” Digital Kelantan Collection, accessed November 27, 2022, http://digitalkelantancollection.umk.edu.my/koleksikelantan/items/show/3760.