Air Oren Kelate tetap 'lejen'

Dublin Core

Title

Air Oren Kelate tetap 'lejen'

Subject

Keratan Akhbar

Description

Kota Bharu – Siapa sangka, Air Oren Kelate ataupun air Oren Cap Ayam yang terkenal di negeri ini sebenarnya berusia lebih 83 tahun, sejak diperkenalkan pada tahun 1935, disini.

                Air ‘legenda’ ini bukan sahaja terkenal di Kelantan, malah seluruh Malaysia, selain turut dijual di negara-negara jiran seperti Thailand, Singapura, Brunei dan lain-lain negara.

                Malah keaslian rasa dan botolnya juga dikekalkan walaupun di jual di merata kawasan kerana air cap ayam ini mempunyai identiti sendiri, melambangkan keasliannya yang dikaitkan dengan negeri Kelantan ini.

                Bukan hanya kedai-kedai kopi di tepi jalan, restoran bertaraf lima bintang, mahupun hotel-hotel terkemuka juga tidak melepaskan peluang untuk menyediakan minuman tersebut, samada diletakkan di atas meja, mahupun di dalam buku menu bersama barisan makanan yang lain.

                Menurut pengusahanya, Phor Seuw Ling, 63, perniagaan tersebut telah dimulakan oleh keluarga mentuanya dan beliau dan suami adalah generasi ketiga yang meneruskan perniagaan turun temurun itu.

                Beliau yang juga pesara guru memberitahu, dengan bantuan 16 pekerjanya, syarikatnya mampu menyediakan minimum 1,000 botol sehari mengikut permintaan dan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

                “Air bikarbonat yang mempunyai tiga perisa iaitu Oren, Sarsi dan Soda akan dibotolkan dengan bantuan tiga pekerja iaitu seorang akan masukkan air dalam botol, seorang akan tampal logo cap ayam di botol selepas air dimasukkan dan seterusnya seorang lagi akan menyusun botol-botol tersebut untuk diikat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kilangnya di sini.

Cara ikatan yang tersendiri

                Menurutnya, pekerja-pekerjanya juga telah dilatih untuk mengikat botol-botol tersebut dengan jumlah sedozen untuk dijual kepada pembeli dan ikatan yang diajar tersebut juga merupakan idea asal turun temurun daripada keluarga suaminya itu.

                Seuw juga memberitahu, dengan hanya memegang sebelah tangan sahaja, namun beliau memberi keyakinan 12 botol air yang diikat tersebut tidak akan terlepas daripada genggaman dan itu antara salah satu identiti air cap ayam ini kerana ia tidak memerlukan kotak mahupun bekas khas untuk menyimpan air-air tersebut walaupun botolnya berasaskan kaca.

                Beliau juga berkongsi pengalaman, pernah satu masa keluarganya cuba menukar ‘wajah’ botol air tersebut kepada warna putih dan lebih jernih, namun mereka dikejutkan dengan pemulangan kembali air-air tersebut dan pengedar mahu botol kini dikekalkan walaupun harga botol tersebut juga agak tinggi.

                “kita hanya sempat buat sekali sekali sahaja ‘production,’ selepas itu mereka (pengedar) hantar balik dan mahu kami pakai botol yang lama. Biar nampak murah, tapi legenda itu dikekalkan. Keaslian itu penting daripada guna botol baharu yang tidak mempunyai nilai sentimental.

                “Pada mulanya kami terkejut juga, tetapi selepas itu, kami sekeluarga sudah membuat keputusan untuk tidak menukar apa pun, termasuklah perisa air itu sendiri.

                “Masa mula-mula diperkenalkan, kita keluarkan enam perasa, tapi sekarang kita kekalkan tiga sahaja mengikut permintaan yang tinggi,”katanya.

Kebersihan menjadi keutamaan

                 Seuw berkata, kebersihan merupakan sesuatu yang amat dititik beratkan dalam penghasilan air minuman ini, terutamanya semasa proses pembotolan air bagi memastikan kualiti produk terjamin sejajar dengan pengiktirafan Makanan Selamat (MeSTI) daripada Kementerian Kesihatan.

                Malah ibu kepada tiga cahaya mata berusia 30 sehingga 38 tahun itu memberitahu, proses pembotolan akan dihentikan seketika jika pekerjanya tidak sempat untuk mengikat botol-botol tersebut sebelum diserahkan kepada pengedar.

 

Creator

Siti Fatihah Awang

Source

Sinar Harian

Publisher

Seksyen Koleksi Khas dan Institut

Date

8 Ogos 2018

Contributor

Sinar Harian

Language

Bahasa Melayu

Type

keratan akhbar

Files

air oren kelate tetap legen.jpg

Collection

Citation

Siti Fatihah Awang, “Air Oren Kelate tetap 'lejen',” Digital Kelantan Collection, accessed November 27, 2022, http://digitalkelantancollection.umk.edu.my/koleksikelantan/items/show/3761.